SERAH…Rusli (dua dari kiri) menyerahkan cek kepada
Abdillah sambil disaksikan Ruzila (kanan), semalam.
KUALA TERENGGANU: “Mungkin wang ini hadiah terakhir daripada anak untuk kami, Insya-Allah, wang ini akan digunakan sebaik mungkin,’’ kata Ruzila @ Marizan Ishak, 42, ibu kepada seorang remaja, Amirul Azwan Abdillah, 16, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Kesom, Manir di sini, pada Aidilfitri keempat lalu.
Menurutnya, dia bersyukur dengan pemberian wang pampasan RM44,309.26 daripada Etiqa Takaful Berhad (Etiqa) selepas mencarum dalam Pelan Pendidikan Anak-Anak (Sarjana) untuk anak keduanya itu sejak dua tahun lalu.
Katanya, walaupun wang berkenaan tidak dapat mengembalikan anaknya, namun ia tetap bermakna dan akan digunakan untuk pembelajaran dua lagi anaknya yang masih bersekolah.
‘’Wang selebihnya pula akan digunakan untuk mengadakan tahlil bagi mendoakan kesejahteraan arwah,’’ katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Petiti, Manir, dekat sini, kelmarin.
Harian Metro pada 26 September lalu melaporkan Amirul Hazwan yang menunggang motosikal Yamaha LC bertembung dengan sebuah motosikal LAIN di Kampung Kesom, Manir, dekat sini, jam 4.30 petang.
Mangsa yang cedera teruk di kepala dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan hari.
Sementara itu, Pengurus Agensi Kumpulan Etiqa Kuala Terengganu, Rusli Mejah, berkata ibu mangsa yang juga pencarum pelan itu diberikan pampasan berkenaan kerana penama meninggal dunia sebelum layak menerima wang terbabit pada usia ditetapkan.
Menurutnya, sebanyak 70 peratus ibu bapa di negeri ini belum mencarum dengan mana-mana syarikat atau agensi insurans untuk anak mereka.
Katanya, masih ada ibu bapa yang tidak sedar pentingnya mereka menyertai polisi Sarjana Etika Takaful bagi menjamin masa depan anak masing-masing.
“Saya dapati kebanyakan pelajar yang mahu menyambung belajar terpaksa memohon pinjaman bank atau syarikat kredit bagi menampung kos pembelajaran mereka,’’ katanya.
Metro 24 Disember 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan